[VIDEO] PRN Sabah: BN fokus kerusi boleh menang

PUTRAJAYA – [DIKEMAS KINI] Barisan Nasional (BN) menegaskan fokus utama gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah hujung tahun ini adalah memastikan kemenangan di kerusi-kerusi yang berpotensi besar. 

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kesiapsiagaan jentera BN telah digerakkan di semua 73 Dewan Undangan Negeri (DUN) di Sabah sejak sekian lama.

“Kita sedang melihat kawasan-kawasan tumpuan yang akan kita berikan di Sabah. 

"Yang penting ialah soal kemenangan. Jadi kita lebih tumpukan kepada kerusi-kerusi yang kita boleh menangi dan itulah tumpuan kita,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) pada Isnin.

**media[3259106]**

Beliau menjelaskan, rundingan dengan Pakatan Harapan (PH) telah dimuktamadkan, namun perbincangan bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) masih berjalan dan belum mencapai keputusan.

“Kita setakat ini menghormati kerjasama antara PH dan GRS,” katanya.

Mengulas sama ada BN bersedia bergerak sendiri sekiranya gagal mencapai kaya sepakat dengan GRS, Ahmad Zahid menegaskan, parti itu tidak akan berkompromi dengan penggunaan lambang lain.

“Kalau perkara itu tidak dapat diselesaikan, pegangan kita tidak akan menggunakan apa-apa juga lambang yang lain. Kita akan terus menggunakan lambang Barisan Nasional,” katanya.

Pada 18 Ogos lalu, Ahmad Zahid dilaporkan berkata, BN tidak dapat mengelak daripada berdepan risiko pertandingan banyak penjuru pada PRN Sabah susulan tidak ada rundingan antara pelbagai parti di negeri itu bagi mewujudkan pakatan atau kerjasama politik.

Beliau berkata, pengagihan kerusi antara BN dan PH menjelang PRN Sabah sudah dimuktamadkan tanpa sebarang pertindihan namun tiada sebarang rundingan dilakukan dengan GRS membabitkan pembahagian kerusi atau kerjasama bagi menghadapi PRN itu sebagai menghormati PH.